Saya ingat sebuah pepatah yang mengatakan :
"Bila ada sumur diladang, boleh kita menumpang mandi. Kalau ada umurku panjang, bolehlah kita berjumpa lagi"
Kita semua yang masih hidup di atas muka bumi ini mengimani bahawa mati itu adalah benar. Baik Muslim, kafir, munafiq, mahupun atheist, mereka semua tahu yang satu hari nanti mereka pasti akan mati. Mengingati mati merupakan satu tuntutan dalam Islam. Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam ada menyebut :
“Perbanyakkanlah mengingati pemutus kelazatan dunia (mati) kerana tidaklah seseorang yang dalam kesempitan itu mengingatinya (mati) melainkan ia akan melapangkannya, dan tidaklah seseorang yang dalam keadaan lapang itu mengingatinya melainkan ia akan menyempitkannya”. [Diriwayatkan oleh al-Bazzar dan al-Tabarani dalam al-Awsath. Berkata al-Haithami : Isnadnya hasan]. Mati adalah permulaan perjalanan di alam barzakh sebagaimana kelahiran itu merupakan permulaan perjalanan kita di alam dunia dan ia akan terhenti samada di Syurga atau neraka.
Kita yang masih hidup ini tidak tahu bagaimanakah rasanya mati. Yang telah pergi pula tidak dapat memberitahu kita betapa dahsyatnya maut itu. Maka, satu-satunya cara untuk kita yang masih hidup ini untuk mengetahui misteri mati adalah melalui apa yang dikhabarkan oleh Allah dalam al-Quran dan Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam dalam hadis-hadis yang sahih. Tidak ada seorang manusia pun di dunia ini yang menyukai mati. Orang yang beriman tidak suka kepada kematian kerana bimbang adakah dia telah mencukupkan bekalan untuk menghadapi hari perhitungan, risau akan amalannya yang kurang di sana sini. Orang kafir lebih-lebih lagi tidak menyukai mati bahkan mereka membencinya kerana mati memutuskan mereka daripada syahwat dunia, harta dan keluarga. Kalaulah ada ubat dapat mengubati mati!
Walau tiada manusia yang menyukai mati, tapi tidak ada siapa pun yang dapat melarikan diri daripadanya apabila masa itu tiba. Firman Allah yang bermaksud : “Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh…” (an-Nisa’ : 78). Firman Allah lagi yang bermaksud : “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)” (al-Jum’ah : 8). Wahai manusia yang alpa dan leka, maut sudah menunggu kita di hadapan, dan kini kita sedang berjalan menujunya. Oleh itu, bersedialah!
Jadilah Orang yang Bijak!
Tidak perlu degree, mahupun MA, ataupun PhD. Ingatlah mati dan sentiasalah bersedia untuknya, maka jadilah kita orang yang bijak. Disebutkan dalam satu hadis, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam ditanya : Siapakah manusia yang paling bijak? Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Mereka yang paling banyak mengingati mati, dan yang paling banyak membuat persediaan untuknya. Itulah orang yang bijak, mereka pergi dengan kemegahan dunia dan kemuliaan akhirat.” [Diriwayatkan oleh al-Tabarani dan al-Haithami berkata : Isnadnya hasan]. Mati merupakan musibah paling besar. Dengan matilah ditutupnya lembaran amalan kita dan terkuncilah sudah pintu taubat. Maka siapalah yang lebih bijak dari manusia yang mempersiapkan dirinya untuk itu.
Dahsyatnya Maut
Kita biasa mendengar bahawa maut itu menyakitkan. Hakikatnya.. ?? Tiada siapa yang mengetahui melainkan mereka yang telah pergi meninggalkan kita. Mereka tidak mungkin kembali untuk menemui dan memberitahu kita pengalaman dahsyat yang mereka lalui.
Firman Allah yang bermaksud : “Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah “Sakaratulmaut” membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): “Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!” (Qaaf : 19). Perkataan ‘sakaraatul maut’ membawa maksud kesulitan, kesakitan, kepayahan dan kedahsyatan yang dilalui oleh manusia ketika dia hendak mati [Lihat : al-Baghawi, Ma’alim at-Tanzil]. Lihatlah keadaan yang diceritakan oleh kekasih Allah, manusia yang paling disayangi oleh Allah, ketika Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallammenghadapi saat-saat genting sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata : Di hadapan Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam ada rikwah atau ‘ulbah (sebuah bekas kecil diperbuat daripada kulit, digunakan untuk minum air) yang berisi air di dalamnya, lalu Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam memasukkan tangannya ke dalam bekas tersebut lalu menyapu wajahnya sambil berkata : “La ilaha illallah (Tiada Tuhan melainkan Allah).. Sesungguhnya maut itu sungguh menyakitkan.” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]. Dalam riwayat Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir : “Ya Allah, bantulah aku menghadapi sakaratul maut (iaitu dahsyatnya maut).” [Diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Tirmizi; beliau menghasankannya]
"Adakah anda dapat membayangkan bagaimanakah rasanya mati?"
Wahai saudaraku…
Kedahsyatan maut tidak diketahui melainkan mereka yang telah pergi meninggalkan kita. Oleh itu, bersedialah menghadapinya. Ketika ia datang menjemput kita, lidah kelu tidak lagi punya upaya untuk meminta pertolongan. Setiap anggota dan sendi seakan ‘meraung’ kesakitan sehinggalah roh kita sampai di halqum dan kemudian terputuslah pandangan kita dari dunia dan ahlinya. Malaikat maut yang datang menjemput hanya menjalankan tugas yang telah diamanahkan oleh Allah, maksud firman Allah : “…sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).” (Al-An’aam : 61). Firman Allah lagi yang bermaksud : “Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati dalam masa tidurnya; kemudian Diaa menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan.” (Az-Zumar : 42). Jika kita di kalangan orang-orang yang banyak melakukan maksiat, maka kita akan diselubungi penyesalan dan kerugian. Kalaulah kita bisa kembali ke dunia melakukan amal kebaikan! Tapi itu tidak mungkin terjadi. Dan jika kita dari kalangan orang yang bertaqwa, kegembiraanlah yang akan kita rasakan kerana kita bakal bertemu dengan Pencipta yang selalu kita rindukan. Ya Allah, jadikanlah kami dari kalangan orang yang bertaqwa dan matikanlah kami dalam keadaan iman.
Sebelum kita menghembuskan nafas yang terakhir, sentiasalah bersangka baik dengan Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Besar rahmatNya ke atas hambanya yang beriman. Nabishallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Janganlah seseorang itu mati melainkan dia bersangka baik dengan Allah.” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim]. Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata : ‘Jika kamu lihat seseorang itu hendak mati, maka berikanlah berita gembira kepadanya supaya dia bertemu dengan Allah dalam keadaan dia bersangka baik dengan Allah. Dan jika dia masih hidup, maka takutkanlah dia (iaitu berilah peringatan kepadanya dalam bentuk ancaman)’ [Lihat : Aina Tazhabuun?: Susunan al-Qism al-‘Ilmi Dar-ul Wathan]
Semoga tulisan ini memberi peringatan kepada kita akan ‘tamu’ yang sedang menanti di waktu yang kita sendiri tidak tahu bilakah ia. Allah berfirman maksudnya : “…dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.” [Luqman : 34]
Source :Ilidalila
Sesunggguhnya apa yang segala yang ada dimuka bumi ini adalah milik-Nya.
"Dan tidak ada satupun daun yang jatuh dari dahanya melainkan atas seijin-Nya"Dan masihkan engkau dilenakan oleh segala apa yang ada di dunia ini? Sesungguhnya semua itu hanya ujian, hanya jilatan sesaat kenikmatan akhirat.
Wallahu A'lam Bisshawab....
Wassalamu'alaikum... :)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar